Warga Israel punggah, selerak bantuan untuk Gaza
Astro Awani
Mei 14, 2024 08:15 MYT
Mei 14, 2024 08:15 MYT
TEBING BARAT: Penunjuk perasaan Israel pada Isnin bertindak menyekat trak bantuan yang menuju ke Gaza.
Malah, mereka bertindak kejam menaburkan bungkusan makanan di jalan raya, bagi menghalang bantuan itu dinikmati warga Palestin yang kebuluran, ekoran tindakan kekejaman rejim Zionis.
Kejadian itu berlaku dalam siri terbaharu protes, ketika Israel berikrar untuk membenarkan bekalan kemanusiaan tanpa sebarang gangguan masuk ke dalam kawasan Gaza yang dikepung itu.
Empat penunjuk perasaan, termasuk seorang di bawah umur, telah ditangkap ketika menyertai protes yang berlaku di Pusat Pemeriksaan Tarqumiya, barat Hebron di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Video yang tular di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan membuang bekalan dari trak ke tanah, dengan kandungan kotak yang dibuka sewenang-wenangnya di jalanan.
Ia jelas bukan video palsu, apabila kandungannya disahkan melalui imej bangunan, papan tanda dan bukit yang sepadan dengan fail imejan di pusat pemeriksaan.
Visual yang berasingan dari lokasi yang sama juga menunjukkan trak yang sama sedang dipunggah, sekali gus menyokong bukti video tersebut.
Minggu lalu, empat orang ditahan di selatan Israel selepas protes serupa oleh warga Israel yang membantah menghantar bekalan kemanusiaan ke kawasan yang dikawal oleh gerakan Hamas.
Protes itu berlaku ketika Israel telah menghadapi tekanan antarabangsa yang berat untuk meningkatkan aliran bantuan ke Gaza.
Pertubuhan antarabangsa juga telah memberi amaran tentang krisis kemanusiaan yang teruk yang mengancam penduduk lebih daripada 2 juta orang.