Warga Indonesia juga dijangkiti Zika di Singapura
Astro Awani
September 1, 2016 17:03 MYT
September 1, 2016 17:03 MYT
SEORANG wanita warga Indonesia disahkan positif dijangkiti virus Zika di Singapura, menjadikannya kes pertama melibatkan rakyat republik itu, lapor The Jakarta Post yang memetik kenyataan pegawai Kementerian Luar Indonesia.
Jurucakap Kementerian Luar itu, Arrmanatha Nasir berkata maklumat berkenaan disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Singapura kepada pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia di Singapura.
Wanita tersebut yang identitinya tidak didedahkan sekarang sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Singapura.
“Demi menjaga privasi, Kementerian Kesihatan Singapura hanya menyatakan individu berkenaan seorang warga Indonesia dan wanita,” kata Arrmanatha seperti dipetik oleh The Jakarta Post.
Dalam pada itu, pegawai Kementerian Kesihatan memaklumkan langkah-langkah keselamatan yang akan diambil berkuat kuasa serta-merta melibatkan pelancong yang tiba dari Singapura di semua pintu masuk sempadan.
Amaran perjalanan
Sementara itu, agensi pelancongan Indonesia menjangkakan amaran perjalanan yang dikeluarkan oleh beberapa negara ke atas Singapura akan memberikan kesan kepada pelancongan di Kepulauan Riau kerana kebanyakan pelancong yang datang masuk dari Singapura.
Amerika Syarikat pada Selasa mengeluarkan amaran perjalanan kepada warganya yang hendak ke Singapura susulan penemuan kes jangkitan Zika di republik itu. Negara-negara lain yang mengeluarkan amaran perjalanan yang sama termasuklah Korea Selatan, Australia dan Taiwan.
Agensi pelancongan itu bagaimanapun menyebut kesan sebenar amaran perjalanan itu akan hanya dapat diketahui dalam masa 15 hari akan datang kerana sesetengah pelancong yang sudah membuat tempahan mungkin tidak membatalkan rancangan mereka.
Ketua Agensi Pelancongan Kepulauan Riau, Guntur Sakti berkata 99 peratus daripada 2 juta pelancong yang datang ke Batam, Bintan dan Karimun masuk dari Singapura.