Warga Eropah mengundi pada hari terakhir pemilihan
Bernama
Jun 9, 2024 05:30 MYT
Jun 9, 2024 05:30 MYT
BRUSSELS: Pilihan raya Parlimen Eropah akan melabuhkan tirainya pada Ahad, hari terakhir pengundian dan sehingga 360 juta orang di seluruh 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) membuang undi mereka selama empat hari, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pengundian berlangsung sejak Khamis, dengan Belanda memulakan proses itu. Ireland menyusul pada Jumaat, dengan rakyat Czech mengundi selama dua hari.
Sabtu adalah hari pengundian untuk Latvia, Malta dan Slovakia, serta hari pertama daripada dua hari pengundian untuk Itali dan Estonia, sementara pemilih di negara anggota selebihnya mengundi pada Ahad.
Sebanyak 720 Ahli Parlimen Eropah (MEP) akan dipilih daripada ribuan calon. Ini adalah bilangan ahli yang kurang sedikit berbanding pilihan raya sebelum ini, sebahagiannya kerana jumlah kerusi parlimen mengecil apabila United Kingdom meninggalkan EU pada 2020.
Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, mendahului pesaing-pesaingnya menjelang hari terakhir pengundian dan berkemungkinan akan menjadi penentu bagi Presiden Suruhanjaya Eropah yang seterusnya jika Brothers of Italy (FdI) mencatatkan undian yang besar.
Jika ramalan peramal adalah tepat, parti-parti sayap kanan akan memperoleh keputusan yang lebih baik kali ini berbanding sebelumnya dan berpotensi mempengaruhi segala-galanya daripada dasar EU mengenai migrasi dan iklim.
Ramalan pertama untuk pengagihan kerusi dalam Parlimen Eropah yang baharu dijangka diumumkan pada Ahad antara pukul 8.15 malam dan 8.30 malam (1815-1830 GMT).
Keputusan awal pertama dari beberapa negara EU dijangka selepas pukul 11.00 malam.
-- BERNAMA