Warga emas wakili 22 peratus populasi dunia menjelang 2050
Bernama
Oktober 1, 2021 15:38 MYT
Oktober 1, 2021 15:38 MYT
ANKARA: Peratusan populasi warga emas di dunia dijangka meningkat dua kali ganda sehingga 1.5 bilion adalah terdiri mereka berusia lebih 65 tahun menjelang 2050, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Orang berusia 60 tahun dan ke atas merangkumi 12.3 peratus daripada populasi dunia dan pada 2050 jumlah itu dijangka meningkat hampir 22 peratus.
"Peningkatan mendadak diramalkan di negara-negara paling kurang maju, jumlah orang berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 37 juta pada 2019 menjadi 120 juta pada 2050 (225 peratus).
"Semua wilayah akan melihat peningkatan penduduk warga emas antara 2019 dan 2050. Peningkatan terbesar (312 juta) diunjur di Asia Timur dan Tenggara, meningkat daripada 261 juta pada 2019 menjadi 573 juta pada 2050," lapor Agensi Anadolu memetik UN Population Fund.
Sementara peningkatan terpantas di utara Afrika dan Asia Barat, kenaikan dijangka lebih rendah di Australia, New Zealand, Eropah dan Amerika Utara.
Pada 1990, PBB menetapkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dan taraf hidup sosial golongan itu.
Tema tahun ini, 'Digital Equity for All Ages' bertujuan menyedarkan dunia mengenai perlunya akses dan penyertaan warga emas dalam dunia digital.
"Warga emas sering dibiarkan terasing semasa pandemik. Mereka juga berisiko besar menjadi mangsa ancaman jenayah siber.
"Kita perlu berusaha untuk meingkatkan kemahiran digital dalam kalangan warga emas untuk kesejahteraan mereka," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.
Justeru beliau menyeru "dasar, strategi dan tindakan lebih inklusif diperlukan untuk mencapai persamaan digital untuk semua peringkat umur."
-- BERNAMA