Warga emas teruja lakukan aerobik di kolam renang selepas lama terkurung
Agensi
Jun 20, 2021 18:50 MYT
Jun 20, 2021 18:50 MYT
SEJAK COVID-19 menyerang dunia, lama sudah rasanya masyarakat tidak dapat hidup seperti sebelum ini.
Meskipun program vaksinasi di Malaysia semakin pantas namun negara kita masih jauh untuk mencapai imuniti kelompok.
Bukan Malaysia saja, negara lain pun sama keadaannya namun ada negara yang sudah mula beransur-ansur kembali menjalani kehidupan normal - disebabkan kes mula menurun dan program vaksinasi yang hampir menyeluruh.
Penduduk di sebuah kawasan di Seoul, Korea Selatan antara yang dapat kembali menikmati hidup normal selepas lama terkurung.
Bahkan, mereka juga dapat menjalankan aktiviti ‘aerobik’ dalam kolam renang dan bersenam selepas kerajaan membenarkan kolam renang untuk beroperasi kembali.
Pesakit barah, Park Jong-seon, 90, adalah antara yang paling teruja ketika menyertai aktiviti itu yang mula dibuka pada Isnin lepas.
Dia memang sudah lama teringin untuk kembali berenang kerana menurutnya, ia mampu melegakan sakit-sakit sendi.
“Saya bebas pergi ke luar dan tidak terkurung di rumah sepanjang masa," kata Park, tersenyum dengan topi renang tentera laut dan tidak memakai pelitup muka.
“Saya akhirnya berasa seperti hidup semula,” ujarnya.
Latihan dalam kolam selama 50 minit itu terbuka untuk sesiapa sahaja yang diberi vaksin sepenuhnya.
Begitupun, hanya seramai 10 perenang ada di dalam kolam itu dan semuanya berusia 75 tahun ke atas kerana kempen vaksinasi setakat ini tertumpu kepada warga tua.
Daerah Jung-gu telah membuka kembali kolam renang awam dan menawarkan makanan percuma di pusat penjagaan orang tua sebagai insentif untuk vaksinasi.
Sehingga Khamis, hampir 90 penduduk penduduk Jung-gu yang berusia 75 tahun atau lebih berusia telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
Korea Selatan juga telah melonggarkan sekatan terhadap konsert besar dan acara sukan minggu ini.
Pelitup muka juga tidak lagi diperlukan di luar rumah bagi mereka yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi.
Bahkan pelancong yang diberi vaksinasi sepenuhnya akan dikecualikan daripada kuarantin wajib mulai bulan Julai.
Korea Selatan pada Rabu mengatakan bahawa negara itu telah memvaksin lebih daripada 25 peratus penduduknya dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 - dua minggu lebih awal dari jadual.
#Korea Selatan
#vaksin
#warga emas
#pelancong
#Korea
#COVID-19
#pelitup muka
#imuniti kelompok
#program vaksinasi
#Malaysia
#konsert
#sukan
#renang
#Kolam renang
#aerobik