Warga emas meninggal kerana jantung iskemia, tiada alahan kepada vaksin COVID-19

Astro Awani
Jun 19, 2021 07:57 MYT
MOH berkata, wanita itu dinilai oleh petugas kesihatan yang terlatih sebelum menerima vaksin COVID-19 dan dipantau selama 30 minit selepas vaksinasi dan didapati berada dalam keadaan baik ketika itu. - Gambar hiasan
KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan punca kematian seorang warga emas selepas sehari divaksin adalah disebabkan penyakit jantung iskemia (ischaemic heart disease).
Hasil bedah siasat mendapati wanita berusia 72 tahun itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda alahan terhadap vaksin.
MOH membuat kenyataan itu pada Sabtu sebagai menjawab soalan media mengenai kematian wanita tersebut di Hospital Besar Sengkang pada 4 Jun lalu.
Katanya, pesakit itu telah menerima rawatan di jabatan kecemasan hospital awam berkenaan yang telah berusaha menyelamatkannya tetapi tidak berjaya.
"Oleh kerana punca kematian tidak dapat dipastikan, kes dirujuk ke koroner untuk siasatan lanjut.
"Pihak koroner mengesahkan punca kematian adalah penyakit jantung iskemia," menurut pihak hospital.
MOH menjelaskan, sebagaimana prosedur standard, wanita itu telah dinilai oleh petugas kesihatan yang terlatih sebelum menerima vaksin COVID-19.
Dia juga dipantau dalam tempoh 30 minit selepas vaksinasi dan berada dalam keadaan baik pada ketika itu.
Anaknya telah membangkitkan persoalan mengenai kes ibunya menerusi hantaran di Facebook yang kini tular.
Katanya, ibunya menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada 3 Jun dan tidak mengalami sebarang masalah kecuali rasa sakit kesan cucuk di lengan.
"Tetapi, dia tumbang sekitar jam 7.15 malam pada 4 Jun dan dibawa dengan ambulans ke jabatan kecemasan Hospital Besar Sengkang, di mana dia meninggal sekitar jam 9 malam," katanya.
Hospital menyatakan, pihaknya telah menghubungi keluarga terbabit dan akan memberi lebih perincian mengenai dapatannya dalam kes tersebut.
#Pfizer-BioNTech #Singapura #warga emas #COVID-19 #vaksin #alahan #jantung #Iskemia #Kementerian Kesihatan #Facebook #vaksinasi #suntikan
;