Warga emas hampir maut terperangkap dalam lif

Astro Awani
April 8, 2021 11:45 MYT
Pihak pengurusan Stesen Southern Cross meminta maaf kepada mereka yang terlibat. - Foto fail
SEORANG wanita sangkakan akan menemui ajal selepas dia dan tujuh individu lain serta seorang kanak-kanak terkandas dalam sebuah lif selama lebih sejam di stesen kereta api Melbourn.
Pamela Hine bersama suaminya Ian, sedang pulang ke rumah selepas perlawanan AFL antara Brisbane dan Collingwood apabila lif di Stesen Southern Cross tiba-tiba terhenti.
Wanita berusia 79 tahun itu menekan butang kecemasan dalam lif terbabit namun tiada siapa dengar panggilannya.
"Lif berkenaan makin lama makin perlahan sehingga ia terberhenti.
"Kami mengetuk pintu lif berkenaan sekuat mungkin dan menjerit meminta pertolongan dan kami mula rasa cemas apabila keadaan di dalam lif berkenaan mula menjadi panas," katanya kepada portal berita NCA NewsWire.
Selepas 20 minit terperangkap, Hine berkata suaminya berusia 86 tahun rebah ke lantai lif.
"Dia tiba-tiba rebah. Saya menuang air ke atas kepalanya bagi menyejukkan badannya," katanya.
Pasukan kecemasan akhirnya tiba bagi membantu kesemua mangsa selepas hampir sejam terperangkap.
"Kami sangat terkesan dengan kejadian ini," tambah Hines lagi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Victoria memaklumkan, lif berkenaan berhenti beroperasi dua meter daripada tingkat bawah.
Pihak pengurusan Stesen Southern Cross meminta maaf kepada mereka yang terlibat dan berkata kali terakhir lif berkenaan diselanggara adalah pada 26 Mac lalu.
"Stesen Southern Cross ingin memohon maaf kepada mereka yang terkesan dengan insiden ini.
"Kami bersyukur kesemua mereka didapati selamat.
"Keselamatan pengguna dan kakitangan kami adalah paling penting kepada kami dan siasatan akan dijalankan bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang," kata jurucakap stesen berkenaan.
#terperangkap #lif #warga emas #Pamela Hine #Stesen Southern Cross
;