Warga emas berusia 116 tahun sembuh COVID-19 di Perancis

Astro Awani
Februari 9, 2021 06:20 MYT
Andre memberitahu, dia tidak menyedari telah dijangkiti pandemik itu di Pusat Jagaan Warga Emas Toulon. - BFM TV via AP
SEORANG biarawati Perancis berusia 116 tahun menjadi salah seorang individu tertua yang sembuh selepas dijangkiti COVID-19.
Media Perancis melaporkan bahawa Lucile Randon atau Sister Andre didapati positif virus itu pada Januari lalu.
Tiga minggu kemudian dia pulih iaitu dua hari sebelum menyambut ulang tahunnya yang ke-117.
Andre memberitahu, dia tidak menyedari telah dijangkiti pandemik itu di Pusat Jagaan Warga Emas Toulon. Namun dia mengakui mengalami keletihan melampau.
Sister Andre yang cacat penglihatan itu dilaporkan sembuh secara rasmi dan dibenarkan untuk menghadiri acara keagamaan.
"Saya tidak takut kerana saya tidak takut mati. Saya sangat gembira masih dapat bersama awak semua namun saya mahu berada bersama abang serta datuk dan nenek saya," katanya kepada stesen televisyen Perancis, BFM.
Menurut jurucakap Pusat Jagaan Sainte Catherine Laboure, David Tavella, keadaan Sister Andre sangat baik ketika ini.
"Kami mengganggap beliau telah sembuh sepenuhnya. Beliau sangat tenang dan sangat teruja untuk menyambut hari kelahiran ke-117 pada Khamis," kata Tavella.
Bagaimanapun, tidak semua berkongsi nasib sama seperti Andre.
10 rakan penghuninya meninggal dunia akibat virus itu. Mereka adalah 81 daripada 88 penghuni yang dikesan positif Januari lalu.
Sister Andre dilahirkan pada 11 Februari, 1904, dan merupakan individu kedua tertua dunia, menurut senarai Kumpulan Kajian Gerontologi (GRC).
Individu tertua dunia adalah Kane Tanaka dari Jepun yang menyambut hari kelahiran ke-118 pada 2 Januari lepas.
Pada bulan Mei tahun lepas, seorang wanita berusia 113 tahun dari Sepanyol, sembuh sepenuhnya selepas dijangkiti virus COVID-19.
Anna Del Priore dari Amerika Syarikat, yang berusia 107 tahun, juga sembuh sepenuhnya selepas dikesan positif COVID-19 pada bulan Ogos 2020.
Ketika beliau masih lagi seorang kanak-kanak, Del Priore turut dijangkiti Selesema Sepanyol, yang telah meragut sekurang-kurangnya 50 juta orang di seluruh dunia pada 1918.
Lebih 106 juta individu di seluruh dunia telah dijangkiti wabak COVID-19 yang telah menyebabkan lebih 2.3 juta kematian.
#warga emas #COVID-19 #meninggal dunia #biarawati
;