Warga asing tanpa permit ditahan di Arab Saudi

Astro Awani
Oktober 16, 2013 07:39 MYT
Polis Arab Saudi telah menahan lebih dari 1,400 warga asing yang cuba menyelinap mengerjakan Haji tanpa permit dalam beberapa hari sebelum dan bermulanya Wuquf di Arafah.
Jumlah ini termasuk 24 wanita warga Indonesia yang merupakan antara 974 warga asing yang ditahan pihak berkuasa di Jeddah dalam tempoh tersebut.
Mereka dikenakan tindakan undang-undang termasuk larangan masuk balik ke Arab Saudi bagi tempoh sepuluh tahun.
Hasil operasi yang tertumpu di bandar Asheera berdekatan Taif Dan Qunfuda di pintu masuk selatan negara itu beberapa warga Pakistan, Yaman, Mesir dan India turut ditahan.
Sejumlah 123 kenderaan yang diguna bertujuan mengangkut pendatang tanpa izin terbabit turut dirampas.
Sementara itu pada Rabu, jutaan umat Islam termasuk 22 ribu 320 jemaah Haji Malaysia memenuhi kompleks melontar bertingkat yang dibina khas untuk melontar ketiga-tiga Jamrah di Mina.
Turut melontar ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail dan ketua rombongan haji Tabung Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Terdahulu Jamil Khir memberitahu urusan membawa Jemaah Haji Malaysia dari Muzdalifah ke Mina berjalan lancar dan lebih baik berbanding tahun-tahun lepas.
Sementara itu, bagi Jemaah Haji Malaysia yang masih bermabit di Mina pula, mereka akan melontar pada kesemua tiga hari Tasyriq dan hanya akan bergerak semula ke Makkah selepas selesai melontar pada 13 Zulhijjah.
#jemaah haji #permit #warga asing
;