Warga asing didakwa beri rasuah kepada Biden miliki rakaman audio perbincangan

Bernama
Jun 13, 2023 11:50 MYT
Warga asing yang didakwa merasuah Joe dan Hunter Biden disyaki mempunyai 17 rakaman audio perbualannya dengan kedua-dua beranak itu. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Warga asing yang didakwa merasuah Presiden Joe Biden dan anaknya Hunter Biden dipercayai mempunyai rakaman audio perbincangan mereka, lapor Sputnik, memetik Senator Republikan Chuck Grassley semasa bercakap di lobi Senat.
"Warga asing yang didakwa merasuah Joe dan Hunter Biden disyaki mempunyai 17 rakaman audio perbualannya dengan kedua-dua beranak itu," kata Grassley pada Isnin, memetik dokumen 1023 FBI yang tidak diklasifikasikan mengenai keluarga Biden.
Warga asing itu didakwa mempunyai 15 rakaman audio perbincangannya dengan Hunter Biden dan dua rakaman lain dengan naib presiden ketika itu Joe Biden, menurut Grassley.
Menurut dokumen itu, warga asing berkenaan menyimpan rakaman tersebut sebagai suatu polisi insurans sekiranya mengalami "keadaan yang sukar."
Selain itu, Grassley berkata dokumen itu menunjukkan Joe Biden mungkin terlibat dalam Burisma yang menggajikan Hunter Biden.
Jawatankuasa Pemantauan Dewan Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat kemungkinan skim rasuah politik yang melibatkan warga asing. Siasatan itu berdasarkan maklumat yang diberikan kepada FBI oleh sumber yang mendakwa Biden dan anaknya Hunter Biden menerima sejumlah US$10 juta daripada syarikat tenaga Ukraine Burisma untuk membantu menamatkan siasatan terhadap entiti itu. Biden bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Terdahulu, bekas Presiden Donald Trump berkata beliau akan melantik pendakwa raya khas untuk menyiasat Joe Biden, keluarganya dan orang lain yang didakwa terlibat dalam rasuah yang memberi kesan negatif kepada AS.
Pada Jumaat, satu pendakwaan yang menuduh Trump dengan 37 pertuduhan jenayah termasuk menyimpan maklumat keselamatan negara dengan sengaja telah didedahkan kepada umum. Dakwaan itu dibuat ketika Trump mendahului kumpulan calon presiden Republikan untuk pilihan raya 2024.
Trump menafikan dakwaan terhadapnya dan mengkritik Jabatan Kehakiman AS kerana tidak menyiasat dakwaan kegiatan jenayah oleh Biden dengan tindakan sama.
--BERNAMA-SPUTNIK
#Joe Biden #Rasuah #rakaman audio #Hunter Biden
;