Wanita warga emas HK berputih mata, simpanan RM132 juta dilesap sindiket
Agensi
April 21, 2021 15:00 MYT
April 21, 2021 15:00 MYT
HONG KONG: Seorang wanita Hong Kong berusia 90 tahun telah diperdaya hingga menyebabkannya kerugian sejumlah AS$32 juta (RM132 juta), menerusi satu sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa China.
Pihak polis mendedahkan, kes itu merupakan sindiket penipuan atau scam melalui telefon yang terbesar di wilayah tersebut.
Warga tua di Hong Kong, terutamanya yang kaya, sering menjadi sasaran penipuan menerusi panggilan telefon. Golongan itu menjadi pilihan sindiket untuk diambil kesempatan memandangkan mereka dilihat sebagai golongan yang tidak berdaya dan mudah diperangkap untuk memindahkan sejulah wang atas nama pelaburan.
Polis pada Selasa (20 April) berkata, sindiket itu menyasarkan mangsa yang tinggal di dalam rumah agam di The Peak, iaitu sebuah kejiranan mewah di Hong Kong.
Anggota sindiket itu menghubungi wanita berkenaan (nama tidak didedahkan) dengan menyamar sebagai pihak berkuasa China. Mereka mendakwa identiti wanita itu sudah digunakan dalam banyak kes jenayah serius di Tanah Besar.
Menurut polis, wanita itu diberitahu, dia perlu memindahkan wang dari akaun banknya ke satu akaun yang dikawal oleh pasukan penyiasat supaya wang itu selamat, lapor South China Morning Post.
Beberapa hari kemudian, ada individu datang ke rumah mangsa dengan membawa telefon bimbit dan kad SIM yang digunakan untuk tujuan komunikasi dengan ‘ejen keselamatan’.
Ejen keselamatan palsu itulah yang memujuk wanita berkenaan melakukan 11 transaksi pemindahan wang.
Dalam tempoh lima bulan, wanita itu memindahkan wang sejumlah HK$250 juta (AS$32 juta) kepada anggota sindiket itu.
Polis berkata, penipuan itu disedari apabila pembantu rumah wanita itu berasa curiga lalu menghubungi anak perempuan majikannya itu, yang kemudiannya membuat laporan polis.
Setelah melakukan siasatan, polis telah menahan seorang lelaki berusia 19 tahun atas dakwaan penipuan dan kemudian dilepaskan dengan jaminan.
Media tempatan melaporkan, individu tersebut dipercayai orang yang datang ke rumah wanita itu untuk memberikan telefon bimbit berkenaan.
Hong Kong adalah salah satu bandar raya di dunia yang memiliki jurang ketidaksamarataan yang luas.
Meskipun dikenali sebagai kota yang mempunyai jumlah bilionair tertinggi dengan kebanyakannya tinggal di rumah agam mewah, hakikatnya adalah, ada antara rumah-rumah itu yang terletak berdepan dengan pemandangan kejiranan rakyat bawahan. Lazimnya, kejiranan itu didiami keluarga miskin yang berhimpit dalam apartmen bersaiz parkir kereta.