Wanita tua mati 8 tahun sebelum mayatnya ditemui
Agensi
Februari 6, 2014 15:47 MYT
Februari 6, 2014 15:47 MYT
Mayat seorang wanita tua yang meninggal dunia terbujur di lantai sebuah bilik dalam rumahnya yang terletak di tengah bandar raya ini sebelum rangkanya ditemui oleh polis lapan tahun kemudian.
Natalie Wood yang hidup sendirian dipercayai meninggal dunia pada awal 2004, sebulan sebelum hari jadinya yang ke-87, ditemui oleh polis pada Julai 2011.
Kisah wanita itu yang disifatkan oleh media Australia sebagai "wanita yang dilupakan oleh Sydney" kini didengar dalam satu inkues bagi menentukan punca kematiannya.
Wanita itu dipercayai terjatuh di bilik tidurnya dan kemudian tidak dapat bangun sebelum dia meninggal dunia.
Rumah teres wanita itu yang terletak hanya beberapa meter dari Central Station yang sibuk kelihatan seperti rumah tinggal semasa mayat itu ditemui.
Senior Konstabel Andrew Wills memberitahu mahkamah rumah yang dianggarkan bernilai $1 juta dolar Australia itu tidak mempunyai tilam, televisyen atau peti sejuk.
Polis tidak menemui dompet wanita itu tetapi barang kemas dan barang berharga yang lain tidak disentuh.
Menurut Wills, wanita itu tinggal di rumah berkenaan sejak lahir pada 1924 dan hidup mengasingkan diri daripada orang lain.
"Dia tidak bergaul," katanya kepada mahkamah.
Polis juga menemui bungkusan ubat yang diambil daripada farmasi pada 30 Disember 2003.
Berdasarkan baki ubat yang tinggal dan jadual pengambilan ubat itu, Wood dipercayai meninggal dunia lebih kurang 26 hari kemudian.
Akaun banknya juga tidak disentuh sejak dia mengeluarkan wang pada 18 Disember 2003.
Dia juga tidak hadir ke temu janji dengan doktor pada 2 Februari 2004.
Pakar forensik tidak dapat memastikan punca kematian Wood kerana masa yang terlalu sehingga mayatnya ditemui.
Jiran-jiran memberitahu polis mereka percaya wanita itu telah berpindah dan rumah itu kosong tidak berpenghuni.
Wood tidak meninggalkan wasiat dan adik iparnya, Enid Davis serta empat sepupu menuntut harta peninggalannya.
Davis memberitahu mahkamah dia kali terakhir melihat Wood dari tingkap sebuah bas pada 300 Januari 2004.
"Kami tidak berhenti kerana suami saya ada masalah ingatan dan uzur," katanya.
Inkues itu bersambung.