Wanita tertua di dunia hanya pegang gelaran selama enam hari

Agensi
April 8, 2015 13:41 MYT
Weaver tidak pernah merokok atau mengambil minuman beralkohol sepanjang hidupnya. - Foto AP
Wanita kelahiran Arkansas, Amerika Syarikat (AS), Gertrude Weaver, yang baru saja pada minggu lalu menyandang gelaran manusia paling tua di dunia, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 116 tahun.
Weaver meninggal dunia pada jam 10 pagi Isnin di kediamannya dalam kawasan Pusat Pemulihan dan Kesihatan Silver Oaks di Camden.
Weaver yang membesar dalam keluarga petani dan pernah bekerja sebagai pembantu rumah dilahirkan pada 4 Julai 1898.
Dia merupakan salah seorang daripada tiga orang yang masih hidup ketika itu dengan rekod catatan kelahiran sebelum tahun 1900.
Menurut pengurus pusat pemulihan Silver Oaks, Kathy Langley, Weaver pernah berhajat agar dia dilawati Presiden AS, malah dengan bangga menyatakan bahawa dia telah mengundi Barack Obama sebanyak dua kali sepanjang hidupnya.
Weaver sempat berkongsi petua yang dipercayai sangat membantu tahap kesihatannya. Dia tidak pernah merokok atau mengambil minuman beralkohol selain sentiasa berkelakuan baik terhadap orang lain.
Dengan pemergiannya, manusia tertua di dunia sekarang ini adalah Jeralean Talley, yang lahir pada 23 Mei 1899. Talley akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke- 116 pada bulan depan.
#Arkansas #Gertrude Weaver #rekod dunia #wanita tertua
;