Wanita tertelan sudu besi ketika hendak keluarkan duri ikan

Agencies
April 19, 2019 17:18 MYT
Seorang wanita di China tertelan senduk besi semasa hendak mengeluarkan duri ikan yang tersekat di kerongkongnya. - Gambar hiasan
Sekumpulan doktor di Shenzhen, China terpaksa menjalankan pembedahan endoskopi secara serta-merta dalam usaha menyelamatkan seorang wanita yang tertelan sudu besi.
Dikenali sebagai Lily, wanita itu secara tidak sengaja tertelan senduk besi selepas berusaha menggunakan perkakasan dapur itu untuk mengeluarkan duri ikan yang tersekat di kerongkongnya.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik sumber tempatan, sudu besi itu terlepas daripada pegangan Lily sebelum ia memasuki kerongkongnya.
Bagaimanapun, Lily tidak segera mendapatkan rawatan di hospital dengan alasan tidak merasai sebarang kesakitan. Namun empat hari selepas itu, wanita berkenaan memutuskan untuk ke Hospital Shenzhen Nanshan, untuk menjalani proses pengimbasan.
Keputusan imbasan menunjukkan sudu besi itu tersekat dalam posisi menegak dan perlu dikeluarkan bagi mengelakkan usus Lily membengkak.
"Kami harus hati-hati memindahkan sudu itu secara vertikal sebelum memindahkannya. Sudu tersebut menjejaskan ususnya,” ujar doktor, Sun Tingji.
Sudu itu akhirnya berjaya dikeluarkan dan Lily dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari selepas pembedahan.
#China #Hospital #senduk besi #Shenzhen #wanita
;