Wanita tergamak ketuk kepala ibu dengan periuk sampai mati
Sinar Harian
Mac 28, 2024 13:17 MYT
Mac 28, 2024 13:17 MYT
NEW YORK: Seorang wanita di Bronx, Amerika Syarikat (AS) tergamak mengetuk ibunya dengan periuk masak hingga mati dan kemudian menelefon pihak kecemasan dengan mengakui melakukan pembunuhan kejam itu.
Bagaimanapun, suspek, Skydajah Patterson, 26, telah dibebaskan polis dan mendapat rawatan kesihatan mental selepas didakwa memukul ibunya, Selma Mclean berusia 46 tahun di apartment mereka terletak di Presiden Adams House di Bronx pada jam 3.40 pagi (waktu tempatan).
Sumber berkata, Patterson memberitahu operator kecemasan bahawa dia baharu membunuh ibunya dan semasa pihak berkuasa tiba di apartmen itu mereka mendapati Mclean sudah tidak sedarkan diri dan terdapat kecederaan di muka dan kepalanya.
Malah, wanita muda itu masih memegang periuk masak berlumuran darah.
"Dia mengakui menggunakan peralatan dapur untuk memukul belakang kepala ibunya sehingga pengsan," katanya.
Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis berkata, anak perempuan mangsa ditahan, tetapi dia tidak berdepan sebarang pertuduhan tersebut.
Sementara anak baptis Mclean, Danaeyah Reynolds, 26, memberitahu The New York Post bahawa ibunya telah menghantar mesej kepadanya sebelum pembunuhan kejam itu dengan mengatakan dia takut kepada Skydajah yang baharu saja dibebaskan dari wad psikiatari.
"Dia berada di wad psikiatri sejak Februari hingga minggu lalu. Dia mula mendengar suara dan mula bercakap dengan suara seorang lelaki.
"Ibu baptis berkata dia takut kerana Skydajah mengatakan suara di kepalanya memberitahu bahawa ibunya sangat merbahaya," katanya.
Patterson dikatakan mengalami gangguan mental sejak dia kehilangan bayi lelakinya pada bulan Ogos lalu. - Agensi
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian