Wanita Singapura hilang di Sepanyol ditemui mati dengan kesan tikaman: Laporan
Agensi
April 18, 2024 10:20 MYT
April 18, 2024 10:20 MYT
SINGAPURA: Seorang wanita warga Singapura yang hilang ketika bercuti di Sepanyol ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman, lapor media Sepanyol pada Rabu.
Memetik laporan portal berita, CNA, Audrey Fang yang berusia 39 tahun, tiba di negara itu ini untuk melakukan perjalanan solo pada 4 April dan dijangka pulang ke Singapura pada 12 April.
Dia juga merancang menginap di sebuah hotel mewah di bandar Xabia di pantai timur Sepanyol sehingga 10 April.
Bagaimanapun, kali terakhir dia dikesan pada 9 April.
Audrey dilaporkan hilang selepas keluar dari biliknya sekitar jam 8.45 malam hari tersebut.
Barang-barangnya ditinggalkan di dalam biliknya dan dia tidak menaiki penerbangan pulang ke Singapura dari Barcelona.
Mayat Audrey dilaporkan ditemui dengan beberapa kesan tikaman berhampiran tempat letak kereta di perbandaran Abanilla pada 10 April dan pihak berkuasa tempatan hanya mengenal pasti identitinya pada Rabu.
Menurut akhbar dalam talian El Espanol, mayatnya ditemui oleh ketua inspektor bahagian polis tempatan ketika dia dalam perjalanan untuk sarapan pagi di sebuah restoran berhampiran lebuh raya RM-422 di Abanilla.
CNA turut melaporkan, seorang lelaki warga Singapura telah ditangkap oleh Pengawal Awam Sepanyol pada Selasa berhubung kematian Audrey dan dia dijangka hadir di mahkamah akhir minggu ini, kata El Espanol.
Akhbar itu menambah bahawa pihak berkuasa tidak mendedahkan hubungannya dengan mendiang Audrey.
CNA juga telah menghubungi Kementerian Luar Negeri Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut. - CNA