Wanita selamat lahirkan bayi ketika hospital hampir ranap dalam letupan Beirut

Agensi
Ogos 7, 2020 00:21 MYT
George berjaya dilahirkan dalam keadaan selamat meskipun hospital tempat kelahirannya hampir ranap akibat letupan di Pelabuhan Beirut. -Instagram
Sepasang suami isteri sukar untuk percaya mereka bersama bayi yang baru dilahirkan terselamat meskipun keadaan hospital hampir ranap akibat letupan di Beirut, Lubnan pada Selasa.
Emmanuelle Khnaisser pada awalnya sedang disiapkan untuk melahirkan anaknya di hospital berkenaan sebelum berlakunya letupan yang amat dahsyat di Pelabuhan Beirut.
"Saya sempat merakam insiden di dalam hospital termasuk rakaman kelahiran bayi lelaki kami. George dilahirkan dalam suasana yang amat teruk dan saya seakan tak percaya kami semua terselamat," kata suami Emmanuelle, Edmond.
Video yang dirakam Edmond menyaksikan tingkap hospital berkenaan berkecai dan berderai sebaik isterinya ditolak masuk ke dalam bilik pembedahan.
Menurut Reuters, barisan doktor dan jururawat yang mengendalikan proses kelahiran George bertugas dalam keadaan separa gelap selepas letupan berkenaan.
Terdahulu, ibu kota Beirut rosak teruk susulan letupan besar yang mengakibatkan ratusan penduduk terkorban, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan.
Letupan berlaku di sebuah gudang di kawasan Pelabuhan Beirut yang digunakan untuk menyimpan hampir 3,000 tan bahan kimia ammonium nitrat.
#ammonium nitrat #bayi #beirut #Emmanuelle Khnaisser #Hospital #Instagram #lahirkan bayi ketika letupan #letupan #lubnan #wanita hamil