Wanita pengsan cuba diselamatkan, rupa-rupanya...
Sinar Harian
Disember 15, 2022 12:16 MYT
Disember 15, 2022 12:16 MYT
LONDON: Pihak berkuasa di Britain terpaksa memecah pintu masuk sebuah galeri demi untuk 'menyelamatkan' seorang wanita yang didakwa tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, mereka akhirnya menyedari 'wanita' itu rupa-rupanya adalah patung realistik yang dipamerkan di premis tersebut.
Menurut jurucakap Polis Metropolitan London, mereka bergegas ke Laz Emporium ketika kejadian pada bulan lalu selepas menerima aduan tentang individu yang mengalami kecemasan perubatan.
"Individu yang duduk dalam keadaan kepalanya telangkup dia atas meja rupa-rupanya arca digelar 'Kristina' yang dihasilkan artis seni, Mark Jenkins.
"Ada pihak melaporkan 'wanita' itu sudah pengsan selama kira-kira dua jam dan kami percaya dia mungkin kena serangan jantung atau terlebih dos pengambilan ubat," katanya.
Kakitangan galeri itu, Hannah Blakemore yang berada di tingkat turut terkejut apabila melihat polis menyerbu premis tersebut.
"Tujuan asal penghasilan arca itu adalah untuk memprovokasi dan matlamat Jenkins nampaknya sudah tercapai," ujar Blakemore.
Difahamkan, ia adalah kali kedua pihak berkuasa menerima aduan individu yang bimbang tentang keadaan 'Kristina' yang mempunyai nilai kira-kira AS$22,065 (RM97,163), namun ia bukan untuk dijual. -Sinar Harian/Agensi