Wanita pecah rekod dunia, berenang 90 meter di bawah lapisan ais
Agensi
April 24, 2022 20:23 MYT
April 24, 2022 20:23 MYT
SEORANG wanita Afrika Selatan, Amber Fillary memecahkan Guinness World Records miliknya sendiri dengan berenang sejauh 90 meter di bawah lapisan ais.
Fillary sebelum ini mencipta rekod sama, dua tahun lalu di Oppsjo, Norway dengan berenang sejauh 70 meter.
United Press International (UPI) pada Jumaat melaporkan, dia berjaya memecahkan rekodnya sendiri dan mencipta rekod baharu tersebut di Kongsberg, Norway.
Wanita itu melakukan renangan tanpa bantuan peralatan renang atau sut selaman pada 5 Mac lepas.
“Sejak usia 15 tahun, saya bertarung dengan masalah anoreksia, bulimia dan kemurungan. Saya menghabiskan usia awal 20-an di pusat rehabilitasi. Saya juga ketagih arak dan beberapa kali cuba membunuh diri.
“Namun, air memberi ketenangan kepada saya ketika saya bergelut dengan kehidupan ini,” kata wanita itu di laman webnya.
Fillary juga merupakan pemegang rekod dunia untuk berjalan paling lama di dalam air dengan sekali nafas.
Wanita itu berjalan di dalam air sejauh 109.6 meter dalam pencapaian yang dilakukan di Dahab, Mesir.
Beberapa kali mencipta rekod dunia, perenang itu berkata, dia kini bersedia untuk memecahkan rekod terbaharu itu selepas membiasakan badannya dengan kesejukan di Berlin.
Fillary juga berlatih di tasik Norway di mana dia memecahkan rekod tersebut.