Wanita parah, kereta peronda diparkir atas landasan dirempuh kereta api

Agensi
September 26, 2022 17:45 MYT
Menerusi rakaman dashcam yang disiarkan, kelihatan beberapa anggota polis sedang menggeledah trak pikap dan kawasan berhampiran sebelum sebuah kereta api membunyikan hon dari jauh. - Gambar hiasan/Unsplash
WISCONSIN: Tular sebuah video di Amerika Syarikat sejak beberapa hari lalu yang memaparkan sebuah kereta peronda polis dengan seorang penumpang wanita bergari dilanggar sebuah kereta api.
Pihak berkuasa Colorado dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku selepas seorang anggota polis Platteville menahan sebuah trak pikap milik Yareni Rios-Gonzalez, 20, yang disyaki membawa senjata.
Memetik laporan The Guardian, anggota polis bertindak menahan trak milik Gonzales berhampiran landasan kereta api dan kemudiannya bertindak memarkir kereta peronda terbabit di atas landasan.
Menerusi rakaman dashcam yang disiarkan, kelihatan beberapa anggota polis sedang menggeledah trak pikap milik wanita itu sebelum kedengaran bunyi hon kereta api dari jauh.
Anggota polis terbabit hanya mula menyedari kereta api itu sudah menghampiri kereta peronda kurang 15 saat sebelum kemalangan berlaku yang menyebabkan kereta peronda dirempuh keluar beberapa meter dari landasan.
Sementara itu, Gonzalez yang berada di dalam kereta peronda ketika kejadian dilaporkan tidak sedarkan diri ketika tiba di hospital.
Wanita yang diwakili oleh peguamnya, Paul Wilkinson mengkritik tindakan anggota polis yang didakwa tidak masuk akal meletakkan kereta di atas landasan kereta api.
Dalam masa sama, Gonzalez dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan, patah sembilan tulang rusuk, patah tulang dada serta luka di belakang dan kepalanya.
The Denver Post melaporkan Ketua Polis Platteville memaklumkan salah seorang anggota polis yang terlibat dalam insiden itu ‘direhatkan’ buat sementara waktu namun tidak mendedahkan nama pegawai itu serta memberi komen lanjut. -- Agensi
#Wisconsin #landasan kereta api #polis #gari
;