Wanita panik dan lemas dalam lautan bola
Ili Hadri Khalil
Februari 6, 2018 21:43 MYT
Februari 6, 2018 21:43 MYT
Seorang wanita mengalami satu pengalaman menakutkan selepas terperangkap dalam lautan bola di City Square Mall di Singapura yang baru sahaja dibuka pada 3 Februari lalu.
Vivien Low dan John Low memuat naik video mereka di Facebook untuk berkongsi pengalaman menakutkan yang dikatakan sebagai 'pengalaman buruk'.
Video tersebut turut memaparkan kejadian Vivien yang tenggelam sepenuhnya di dalam lambakan bola sambil terkapai-kapai meminta bantuan.
'Kolam bola' itu adalah tarikan terbaru di pusat beli-belah tersebut. Strukturnya dibina secara tergantung menggunakan jaring kukuh yang kedudukannya setinggi lima atau enam aras kompleks tersebut.
Vivien menjelaskan bahawa dia menemani anak lelakinya ke dalam kawah bola dan menggangapnya tempat paling selamat berbanding semua taman permainan berkedudukan tinggi yang lain.
“Tidak lama bermain, saya hilang keseimbangan dalam kawah bola itu dan jatuh kebelakang. Saya tidak dapat mencecah dasar dan tidak dapat berdiri. Saya cuba untuk berguling juga tidak boleh. Saya cuba mencari jaring untuk berpegang juga tidak boleh,” tulis Vivien di Facebook.
Vivien menyatakan tingginya berukuran 1.72 meter dan lambakan bola tersebut separas bahu bila berdiri.
Selepas melambai meminta bantuan beberapa kali akhirnya Vivien dapat mencapai tangan seseorang untuk kembali seimbang dan berdiri.
Video yang dimuat naik tersebut kini tular di media sosial Facebook hingga mencapai lebih 5,000 kali perkongsian dan ditonton lebih 300,000 kali.
Airzone dalam sebuah komen di video tersebut telah memberi kata maaf dan akan menaik taraf tahap keselamatan para pengguna di kawah bola tersebut.
“Kami akan mengkaji semula bilangan bola yang diletakkan dalam kawah jaring tersebut dan akan memastikan kakitangan kami akan lebih peka dan lincah terhadap sebarang keperluan bantuan,”komen Airzone.
Vivien juga menyatakan bahawa kanak-kanak yang bermain di kawah bola tersebut berseorangan, adalah lebih baik ditemani ibu bapa.
“Lebih ramai ibu bapa didalam kawah bola itu, dapat membantu mengawasi kanak-kanak lain,” jelas Vivien.