Wanita paling tinggi dunia terpaksa baring dalam pesawat
Sinar Harian
November 7, 2022 10:15 MYT
November 7, 2022 10:15 MYT
ISTANBUL: Wanita paling tinggi di dunia, Rumeysa Gelgi akhirnya merasai berada di dalam pesawat komersial buat kali pertama dalam hidupnya baru-baru ini.
Bagaimanapun, dia yang setinggi 215.16 sentimeter (cm) terpaksa berbaring di dalam pesawat itu.
Syarikat penerbangan Turkish Airlines mengeluarkan enam tempat duduk untuk memberi ruang kepadanya dan digantikan dengan tempat yang membolehkannya untuk baring.
Menurut catatan Instagramnya, dia mengharungi penerbangan selama 13 jam dari Istanbul di Turkiye ke San Francisco, Amerika Syarikat (AS).
Menurut Guinness World Records, dia berdiri pada ketinggian 215.16 cm dan dinamakan sebagai wanita paling tinggi di dunia awal tahun ini.
Dia juga mempunyai jari terpanjang dan tangan terpanjang.
Pada kebiasaannya, Gelgi bersiar-siar di atas kerusi roda atau dengan menggunakan alat bantuan pejalan kaki.
Badannya yang besar itu disebabkan oleh sindrom Weaver.
Gelgi, 24, tidak pernah menaiki kapal terbang sebelum ini kerana dia terlalu tinggi untuk duduk di dalam syarikat penerbangan biasa.
Bagaimanapun, dia kini boleh melancong ke luar negara dan terbang ke San Francisco berkat kesediaan syarikat penerbangan Turkish mengubah suai tempat duduk bagi membolehkan Gelgi terbang dengan selesa.
Ketika memuatkan kandungan di Instagram, setelah mendarat di California, Gelgi menyatakan bahawa ia merupakan penerbangan yang sempurna.
Penerbangan itu juga adalah yang pertama dengan pesawat tetapi pastinya ia bukan yang terakhir, katanya.
Dia mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang telah menjadi sebahagian daripada penerbangannya itu. -Sinar Harian/Agensi