Wanita Melayu bakal Presiden Singapura?
Agensi
Februari 9, 2017 06:47 MYT
Februari 9, 2017 06:47 MYT
Pilihan Raya Presiden Singapura akan datang menyaksikan tiba giliran untuk hanya calon Melayu dibenarkan bertanding untuk jawatan itu.
Ini berikutan, Parlimen negara itu meluluskan pindaan rang undang-undang Pilihan Raya Presiden pada Isnin dengan sokongan majoriti, selepas tiga jam perbahasan.
Siapa yang akan menjadi calon menjadi perbualan hangat dengan antara nama yang disebut adalah Halimah Yacob, wanita pertama menjadi Speaker Parlimen Singapura.
Difahamkan semasa perdebatan rang undang-undang itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Chan Chun Sing tersasul dan menyapa Halimah sebagai Puan Presiden dan bukannya Puan Speaker.
Kejadian itu berulang dua kali dan mendapat reaksi menggalakkan ahli parlimen sehingga menjadi tular di internet.
Bagaimanapun Halimah masih belum menyatakan minat untuk bertanding.
Selain Halimah, beberapa tokoh masyarakat Melayu dalam sektor awam dan swasta disebut-sebut sebagai calon berpotensi.
Antaranya bekas menteri dan Speaker parlimen, Abdullah Tarmugi, Menteri-Menteri seperti Yaakob Ibrahim, Masagos Zulkifli dan anggota parlimen Zainul Abidin Rasheed.
Tempoh penggal presiden ketika ini, Tony Tan Keng Yam bakal tamat 31 Ogos depan.
Kali terakhir Presiden Singapura dari kalangan Melayu ialah Yusof Ishak, iaitu pada kira-kira 50 tahun lalu.
#Abdullah Tarmugi
#Halimah Yacob
#Pilihan Raya Presiden Singapura
#Presiden Singapura
#Yaakob Ibrahim