Wanita maut 'disedut' mesin pengisar daging
Agensi
April 25, 2019 13:27 MYT
April 25, 2019 13:27 MYT
Seorang wanita maut apabila terjatuh ke dalam mesin memproses daging semasa sedang bekerja di kilang makanan yang terletak di utara Pennsylvania, Amerika Syarikat, pada Selasa.
Menurut laporan portal NBC News, mangsa Jill Greninger dipercayai terjatuh ke dalam mesin berkenaan ketika sedang berdiri di tangga berhampiran kilang Economy Locker Storage.
"Dia mungkin terjatuh dan ditarik ke dalam mesin yang mengakibatkan kematiannya," kata koroner wilayah Lycoming County, Charles Kiessling.
Semasa kejadian, seorang kakitangan diminta untuk memeriksa mesin berkenaan selepas mendakwa mendengar bunyi bising dari arah mesin itu.
Menurut Kiessling, kakitangan berkenaan bagaimanapun melaporkan bahawa mangsa yang berusia 35 tahun telah ditarik ke dalam mesin itu.
Urusan mengeluarkan Greninger mengambil masa sekitar dua jam oleh pihak penyelamat dengan menguraikan mesin berkenaan untuk mengeluarkan mayat mangsa.
"Kamu selamanya akan dirindui oleh begitu banyak orang. Kamu telah menyentuh hidup ramai orang. Berehatlah dengan tenang,” tulis rakannya, Eric Schreffler di laman media sosial, Facebook.
Sementara itu, tiada sebarang kenyataan direkodkan daripada pihak kilang dan mereka menolak untuk memberikan komen.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Amerika Syarikat sedang menyelidik punca berlakunya kejadian itu.
Sebagai rekod, Economy Locker Storage memulakan operasinya sejak awal tahun 1900 dalam pengkhususan menghasilkan daging.
#Eric Schreffler
#Locker Storage
#mangsa
#maut
#mesin pengisar daging
#NBC News
#Pennsylvania
#wanita