Wanita maut akibat penyedut minuman logam tembusi mata dan otak

Agensi
Julai 10, 2019 19:56 MYT
Mangsa sedang membawa gelas dan penyedut minuman itu ketika terjatuh. - Facebook Elena Struthers-Gardner
SEORANG wanita di United Kingdom dilaporkan meninggal dunia selepas penyedut minuman logam menembusi mata kiri dan otaknya selepas terjatuh.
Elena Struthers-Gardner, 60, sedang berjalan sambil membawa gelas dengan penyedut minuman sepanjang 10 inci itu ketika terjatuh, lapor portal berita The Telegraph, memetik sebutan kes di mahkamah.
Insiden itu berlaku di rumahnya di Broadstone pada November tahun lepas.
Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian otak pada hari berikutnya.
Difahamkan, mangsa memang mempunyai masalah kesihatan yang menyukarkan pergerakannya selepas terlibat dalam satu kemalangan.
Keadaan itu juga menyebabkan mangsa cenderung untuk pengsan atau pitam, laporan itu turut menyebut, dan untuk insiden yang meragut nyawanya itu, dia dilapor terjatuh ketika membawa gelas dengan penyedut minuman logam tahan karat itu.
"Saya nampak Elena tertiarap di dapur. Sewaktu memusingkan badannya, saya lihat penyedut minuman itu sudah menembusi mata kirinya," kata saksi, Mandy Struthers-Gardner, dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh koroner.
Penyedut minuman logam menjadi popular sejak kebelakangan ini selepas banyak negara mengharamkan penggunaan plastik termasuk penyedut minuman.
#Elena Struthers-Gardner #kecederaan #maut #otak #penyedut minuman logam #straw #United Kingdom #wanita
;