Wanita mati ditembak suami di depan anak pada majlis hari lahir

Astro Awani
November 13, 2017 11:29 MYT
Mangsa ditembak suami ketika sedang meraikan parti hari lahir di hadapan anak mereka. - Gambar Hiasan
SEORANG wanita ditembak mati suaminya di hadapan anak mereka pada satu majlis hari lahir di sebuah pusat permainan di Minnesota, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Mangsa, Cheryl L Pilarowski, 32, ditembak ketika sedang meraikan hari lahir salah seorang anak mereka jam 5.30 petang di 'Jump N Jam' di Marysville.
Lebih tragis lagi, insiden itu berlaku di hadapan anak mereka yang berusia empat dan sembilan tahun.
"Suspek telah menembak mangsa pada jarak dekat," kata Timbalan Pengarah Polis, Ron Buckmaster.
Menurut laporan Daily Mail UK yang memetik kenyataan polis, suspek kemudiannya pulang dan menembak dirinya sendiri di kediaman mereka di Kimball Township.
Insiden di pusat permainan tersebut telah menyebabkan kekecohan pada majlis yang dihadiri ramai kanak-kanak dan orang dewasa.
Mereka pada mulanya menyangkakan insiden itu satu rompakan apabila melihat wang yang bertaburan di keliling tubuh mangsa.
Menurut saksi, pasangan tersebut dilihat berbalah di tempat letak kereta pusat permainan itu beberapa jam sebelum kejadian.
Mangsa yang berkahwin pada April lepas dikatakan merancang untuk meninggalkan suaminya dalam masa terdekat.
Pilarowski disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya oleh doktor di Pusat Perubatan Lake Huron, Port Huron.
#Cheryl L Pilarowski #ditembak #Jump N Jam #Kimball Township #mati #Minnesota #Ron Buckmaster #Timbalan Pengarah Polis
;