Wanita mati dalam keadaan ngeri, polis 'salahkan' anjing peliharaan
Madiha Abdullah
Disember 20, 2017 04:52 MYT
Disember 20, 2017 04:52 MYT
DUA ekor anjing dibunuh selepas didapati menyebabkan kematian seorang wanita di Amerika Syarikat (AS), Bethany Lynn Stephens minggu lalu.
Stephens merupakan pemilik kedua-dua ekor anjing baka pitbull itu.
Menurut laporan The Independent, wanita berusia 22 tahun itu ditemui bapanya di kawasan hutan berdekatan kediaman mereka di Virginia, minggu lalu.
"Keadaan di kawasan itu sangat mengerikan, seolah-olah dia (Stephens) 'berenang' dalam darahnya sendiri," kata Ketua Sherif, Jim Agnew.
Ketika ditemui, salah seekor anjing itu dilihat sedang memamah daging bahagian tulang rusuk Stephens, dan bedah siasat mendapati terdapat beberapa lagi kesan gigitan anjing pada badannya.
"Tiada bukti untuk mengatakan kes ini satu kes jenayah. Kecederaannya bukan kerana dipukul, ditikam atau ditembak. Tulangnya juga tiada yang patah," kata wakil pasukan penyiasat, Shawn Whitlock.
Stephens meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada, tangan dan muka.
Menurut kenalan rapat, Stephens dan keluarganya memelihara anjing-anjing berkenaan sejak kecil, namun sejak kebelakangan ini, hubungan Stephens dan kedua-dua haiwan peliharaannya itu sudah tidak seakrab dulu memandangkan Stephens sudah tidak lagi tinggal di situ.
"Anjing-anjing itu adalah haiwan peliharaan, bukan digunakan untuk urusan perniagaan atau pertandingan. Tetapi sejak kebelakangan ini, anjing-anjing itu kerap ditinggalkan di luar rumah, walaupun pada musim sejuk ini," kata sumber keluarga Stephens.
Keputusan untuk membunuh anjing-anjing itu dibuat atas faktor keselamatan.
"Sekali anjing sudah merasa makan daging manusia, sudah tidak selamat untuk membiarkan ia berkeliaran berdekatan manusia," kata Agnew.