Wanita Malaysia jadi tauke rumah pelacuran di Sydney dipenjara tiga tahun

Bernama
Julai 5, 2013 17:07 MYT
Seorang wanita Malaysia, yang memaksa wanita muda dari negaranya menjadi hamba seks di sebuah rumah pelacuran di Sydney, dikenakan hukuman sekurang-kurangnya penjara tiga tahun.
Australian Associated Press (AAP) melaporkan Wong Chee Mei, 39, didapati bersalah pada April kerana menjalankan perniagaan pelacuran dan empat pertuduhan mengambil pekerja yang melanggar peraturan visa dan mengeksploitasi mereka.
Ketika menjatuhi hukuman penjara maksimum enam tahun ke atasnya pada Jumaat, Hakim Deborah Sweeney berkata Wong "tidak melayan wanita berkenaan seperti manusia, tetapi sebagai komoditi -- mesin untuk membuat duit".
Antara 2008 dan 2009, Wong mengambil beberapa wanita Malaysia dan menguruskan kemasukan mereka ke Australia dengan menggunakan visa pelajar.
Wanita berkenaan, yang tidak tahu berbahasa Inggeris, diberitahu mereka perlu bekerja sehingga selesai menjelaskan kos tambang kapal terbang, visa dan yuran kursus, yang keseluruhannya berjumlah A$5,800 seorang.
Kesemua wanita malang itu dipaksa menjadi hamba seks dan dikenakan pelbagai ugutan, kata Sweeney.
"Mereka dipamer di hadapan pelanggan dengan hanya menggunakan nombor sebagai pengenalan diri," kata hakim itu yang dipetik AAP.
Seorang wanita memberitahu mahkamah dia dipaksa bekerja 17 jam setiap hari di rumah pelacuran itu dan didenda A$10 jika terlewat.
Sweeney berkata Wong memberi ubat kepada wanita terbabit untuk menyekat kedatangan haid dan menempeleng seorang daripada mereka kerana datang bulan.
Jika diambil kira tempoh tahanan yang dilalui Wong, tarikh paling awal pembebasannya ialah 30 Mei 2016.
#mahkamah #pelacuran #Sydney
;