Wanita Malaysia ditahan bawa dadah dalam botol mineral
Bernama
November 1, 2016 10:11 MYT
November 1, 2016 10:11 MYT
Polis Indonesia berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan menggunakan air dalam botol mineral.
Modus operandi sindiket itu terbongkar apabila pihak berkuasa menahan lima anggota sindiket terbabit termasuk seorang wanita warganegara Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 13 dan 14 Okt lepas.
Media dalam talian hari ini memetik Timbalan Ketua Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Risnanto sebagai berkata pihak kastam di lapangan terbang pada mulanya menahan seorang wanita rakyat Malaysia pada 13 Okt lepas apabila mendapati dia dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, setelah membuat pemeriksaan bagasi milik wanita itu, pihak kastam merampas dua botol air mineral yang dikemaskan dalam sebuah kotak dan hasil ujian terhadap air itu mendapati ia mengandungi 3.160kg metamfetamin.
Susulan penahanan wanita Malaysia itu, keesokan harinya, polis dan kastam menahan dua wanita rakyat Indonesia yang baru mendarat dari Hong Kong di lapangan terbang sama serta merampas 12 botol mineral yang juga dikemaskan dalam bentuk kotak sama.
Hasil ujian mendapati air dalam 12 botol mineral itu mengandungi cairan metamfetamin seberat 18.9kg.
Setiap satu botol air mineral yan dirampas itu berukuran 1.5 liter dan jika kesemua 14 botol cairan metamfetamin itu dipanaskan ia berubah menjadi serbuk sabu seberat lebih 22kg.
Risnanto berkata ekoran penangkapan itu, polis kemudiannya menahan dua lagi anggota sindiket iaitu seorang rakyat Pakistan dan seorang rakyat tempatan yang berperanan sebagai penerima dan pengendali barang di lapangan terbang itu.
Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan akan didakwa mengikut Pidana Undang-undang Dadah yang membawa hukuman mati.
Pada Jumaat lepas, dua lelaki rakyat Malaysia iaitu seorang pelajar universiti, 22, dan seorang pegawai sukan, 36, ditahan di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali setelah didapati membawa lebih 100 biji pelbagai dadah jenis sintetik dan lebih 70 gram ganja.
Kerajaan Indonesia kini memerangi habis-habisan pengedaran dadah setelah Presiden Joko Widodo mengisytiharkan Indonesia sebagai darurat dadah. -- BERNAMA