Wanita Lithuania hilang 4 tahun lalu ditemukan di Malaysia
Bernama
Januari 26, 2023 23:16 MYT
Januari 26, 2023 23:16 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun pencarian, seorang wanita warga Lithuania yang datang ke Malaysia dan terputus hubungan dengan kedua ibu bapanya, berjaya ditemukan semula, menurut penyiar awam Lithuania LRT.
Wanita dari Raseiniai, Lithuania itu datang ke Malaysia pada Januari 2019 untuk melawat rakan yang dikenali menerusi internet dan ketika itu dia berusia 19 tahun, kata Ketua Polis Daerah Siauliai dalam satu kenyataan.
Ibu bapanya telah menghubungi Polis Daerah Raseiniai dan meminta membantu mencari anaknya itu. Polis Malaysia tidak dapat memberikan maklumta sama ada wanita itu berada di negara ini.
Penyiasat Raseiniai mengesan akaun Facebook masyarakat Lithuania Malaysia dan menghubungi pengerusinya Rita Ruke.
Ruke kemudian meminta detektif tempatan untuk memeriksa setiap lokasi, nombor telefon dan alamat wanita itu yang dihantar oleh pihak Raseiniai.
Pemeriksaan terakhir pada Disember tahun lalu mendapat terdapat pembelian dalam talian yang dibuat atas nama wanita berkenaan.
Pada 20 Dis tahun lalu, wanita dilaporkan ada berbual menerusi video dengan Ketua Penyiasat Vytautas Globis.
"Saya masih hidup, dalam keadaan baik dan sangat gembira," kata wanita itu.
Menurut laporan, wanita berkenaan meninggalkan Lithuania dan memutuskan hubungan dengan keluarga terdekatnya kerana enggan mempunyai apa-apa kaitan dengan mereka.
-- BERNAMA