Wanita lahirkan tiga anak dalam sebulan
Agensi
Mac 29, 2019 10:34 MYT
Mac 29, 2019 10:34 MYT
Seorang wanita Bangladesh yang mempunyai dua rahim melahirkan anak kembar tidak seiras hampir sebulan selepas kelahiran bayi lelaki pramatang.
Arifa Sultana, 20, melahirkan bayi pertama itu pada akhir Februari lalu dan kira-kira 26 hari kemudian dia dikejarkan semula ke hospital kerana mengalami sakit perut.
Doktor mendapati dia sedang hamil anak kembar dalam uterus kedua dan mereka terpaksa melakukan caesarean kecemasan.
Bayi kembar lelaki dan perempuan itu dilahirkan sihat dan dibenarkan keluar hospital tanpa sebarang komplikasi pada 25 Mac lalu.
Arifa dari kawasan luar bandar melahirkan anak pertamanya di Khulna Medical College Hospital di daerah Khulna.
"Apabila kami lakukan ujian ultra bunyi, kami mendapati terdapat bayi kembar. Kami sangat terkejut dan tidak pernah menemui kes seperti ini," kata pakar sakit puan, Dr Sheila Poddar di Hospital Ad-din.
Menurutnya, wanita itu tidak tahu dia hamilkan anak kembar. - BBC