Wanita lahirkan anak di tepi jalan akibat kesesakan lalu lintas sempena APEC

Agensi
November 18, 2015 17:22 MYT
Kesesakan lalu lintas luar biasa berlaku di ibu negara Filipina kerana penutupan jalan sempena persidangan APEC. - Foto AFP
Akibat terkandas dalam kesesakan lalu lintas, seorang ibu yang sarat mengandung di Manila terpaksa melahirkan anaknya di kaki lima di pinggir jalan raya pada Isnin.
Menurut laporan AP, wanita berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke hospital namun terkandas dalam kesesakan lalu lintas yang luar biasa akibat penutupan jalan sempena perjalanan Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23 di ibu kota Filipina itu.
Saksi yang berada di situ berkata, wanita tersebut telah diberikan bantuan kecemasan oleh polis tempatan dan beberapa orang awam.
Wanita itu kemudian selamat melahirkan bayi lelakinya, di kaki lima jalan raya kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan.
Apabila lalu lintas kembali lancar, wanita dan bayinya dibawa ke Hospital San Juan De Dios untuk menerima rawatan lanjut dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Persidangan APEC di manila berlangsung selama dua hari bermula Isnin lalu.
Tanpa penganjuran acara besar seperti itu ataupun penutupan jalan oleh pihak berkuasa, rangkaian jalan pengangkutan di Manila sememangnya sudah dikenali sebagai antara yang paling sesak dan sibuk di Asia.
#APEC #bersalin #lalu lintas #sesak #wanita bersalin
;