Wanita Korea Utara menderita ditindas, dirogol - PBB
Agensi
November 21, 2017 09:25 MYT
November 21, 2017 09:25 MYT
Wanita Korea Utara dinafikan hak pendidikan dan pekerjaan, serta sering dijadikan mangsa keganasan rumah tangga dan serangan seksual di tempat kerja, menurut panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Jawatankuasa PBB mengenai Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita, selepas semakan terhadap rekod Pyongyang, kebimbangan mengenai kejadian rogol ketika dalam tahanan turut disuarakan.
Wanita-wanita tersebut dilaporkan dianiaya setelah dihantar pulang selepas melarikan diri ke luar negara.
"Wanita Korea Utara 'kurang diwakili' atau 'kurang bernasib baik' dalam pendidikan tinggi, badan kehakiman, keselamatan dan polis serta di bahagian kepimpinan dan pengurusan," kata panel tersebut.
Korea Utara bagaimanapun memberitahu, bahawa ia sedang berusaha untuk menegakkan hak-hak wanita dan kesaksamaan jantina namun sekatan yang dikenakan oleh kuasa-kuasa besar ke atas program nuklear dan peluru berpandu mereka memberi kesan pada golongan ibu dan kanak-kanak.
Menurut panel itu lagi, keganasan rumah tangga dianggap 'biasa' dan terdapat 'kesedaran yang sangat terhad' mengenai isu tesebut selain terdapat kekurangan perkhidmatan undang-undang, sokongan psiko-sosial dan perlindungan untuk mangsa.
Selain itu, sekatan ekonomi juga mempunyai kesan yang tidak seimbang terhadap wanita.
Wanita Korea Utara mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, dengan 28 peratus daripadanya adalah wanita hamil atau menyusu.
Laporan turut mendapati, hukuman bagi kesalahan rogol di Korea Utara tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan, malah ada penjenayah yang tidak dihukum.
Penggubalan undang-undang pada tahun 2012 telah menurunkan hukuman bagi rogol, termasuk rogol kanak-kanak, rogol oleh majikan dan rogol berulang.
Ini menyebabkan hukuman untuk kesalahan memaksa seorang wanita melakukan hubungan seks, dikurangkan dari empat tahun hingga tiga tahun, kata laporan itu.
#keganasan rumah tangga
#Korea Utara
#PBB
#Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
#Pyongyang
#rogol
#serangan seksual
#wanita