Wanita keempat terkaya Rusia terkorban dalam nahas pesawat
Agensi
April 1, 2019 11:40 MYT
April 1, 2019 11:40 MYT
Pemilik bersama syarikat penerbangan kedua terbesar di Rusia merupakan antara tiga mangsa yang terkorban dalam satu insiden nahas pesawat Epic LT yang terhempas di Jerman pada Ahad.
Natalia Fileva, 55 tahun, antara pemegang saham utama Siberia Airlines atau lebih dikenali sebagai S7, mempunyai kekayaan bernilai AS$600 juta (RM2.4 billion), meletakkannya sebagai wanita keempat terkaya di Rusia.
Menurut laporan polis, pesawat peribadi terbabit sedang dalam perjalanan dari Perancis menuju bandar Egelsbach ketika ia terhempas kira-kira jam 3.30 petang waktu tempatan di sebuah ladang di Erzhau, berhampiran Darmstadt.
Egelsbach terletak kira-kira 10 kilometer selatan Frankfurt.
Punca kemalangan masih belum dikenal pasti.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, sambil menyatakan Fileva seorang ketua yang bersimpati dan berinspirasi kepada orang ramai.
Mangsa lain yang turut terkorban dalam kemalangan itu adalah seorang lagi penumpang dan juruterbang pesawat tersebut.
Syarikat itu menambah bahawa kemalangan tersebut akan disiasat oleh suruhanjaya antarabangsa bersama pihak berkuasa keselamatan udara Rusia.
S7 Group merupakan pesaing utama Aeroflot, syarikat penerbangan terbesar Rusia, serta mempunyai 96 pesawat yang terbang ke 26 negara, menurut laman web syarikat itu.
Sementara itu, dua lagi maut dalam satu kemalangan jalan raya berkaitan kejadian kapal terbang terhempas itu.
Agensi berita dpa memetik polis berkata, satu kereta polis yang bertindak balas kepada kejadian nahas itu telah bertembung dengan satu lagi kenderaan semasa dalam perjalanan.
Tiga anggota polis dilaporkan cedera teruk sementara dua penumpang dalam kereta satu lagi meninggal dunia.
#Egelsbach
#Erzhau
#Natalia Fileva
#Perancis
#pesawat peribadi
#pesawat terhempas
#Rusia
#Serbia Airlines
#syarikat penerbangan