Wanita, kanak-kanak majoriti mangsa serangan terbaharu Israel

Astro Awani
Oktober 31, 2023 06:15 MYT
Sejumlah rakyat Palestin melakukan pengeceman ke atas mayat mangsa-mangsa serangan terbaharu Israel di kem pelarian Jabalya di Gaza pada Selasa. - Foto REUTERS
JERUSALEM: Sejumlah besar mangsa serangan terbaharu Israel ke atas kem pelarian di Jabalya, Gaza pada Selasa dikejarkan ke Hospital Indonesia, di sini, untuk dirawat.
Menurut pengarah di hospital berkenaan, Dr Mohamed El Ron, pusat perubatan itu menerima sekitar 400 mangsa yang serangan merangkumi yang cedera serta meninggal dunia.
Sebilangan besar daripada mangsa serangan itu, jelas beliau, terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak, lapor BBC.
Pada Selasa, sekurang-kuranganya 50 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan terbaharu zionis Israel ke atas kem pelarian terbesar, Jabalya di Semenanjung Gaza.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan serangan berkenaan dilancarkan dengan mendakwa, sasaran mereka ialah komander Hamas.
Tentera Israel mendakwa, mereka berjaya menawan Ibrahim Biari - pemimpin Hamas yang mengetuai serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, kata jurucakap Leftenan Kolonel Richard Hecht.
Hamas, bagaimanapun, menafikan sekeras-sekerasnya dakwaan bahawa IDF telah menawan pemimpin pasukan pejuang itu, tegas jurucakapnya, Hazem Qassem. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #kem pelarian Jabalya #israel serang gaza #Hamas
;