Wanita Jepun hasilkan komik manga tentang nasib etnik Uighur
Agensi
Disember 27, 2019 19:14 MYT
Disember 27, 2019 19:14 MYT
Kuasa lakaran diharapkan dapat meningkatkan kesedaran umum tentang kesengsaraan yang dihadapi oleh komuniti Uighur.
Itulah yang bermain dalam fikiran seorang artis komik manga dari Jepun, iaitu supaya hasil karyanya dapat mendedahkan kepada umum tentang nasib minoriti Muslim di bawah pentadbiran pemerintah China, lapor Reuters.
Berjudul What Has Happened to Me, komik manga itu telah diterjemah ke 10 bahasa termasuk Mandarin, Uighur dan Inggeris, selain dibaca sebanyak 330,000 kali secara atas talian.
Pelukis komik itu, Tomomi Shimizu bercerita tentang isu yang banyak dilihat oleh dunia, khususnya Barat, tentang pencabulan hak asasi manusia.
Shimizu bercerita tentang Mihrigul Tursun, seorang wanita Uighur sebenar yang kini tinggal di Amerika Syarikat. Dia mendakwa pernah dipukul dan ditahan di China hanya kerana dirinya etnik Uighur.
"Isu ini diketahui tamai orang yang peduli tentang politik. Namun tidak banyak yang diketahui oleh orang awam. Saya mengambil keputusan menggunakan medium manga kerana ia mempunyai kuasa untuk menyampaikan sesuatu dengan mudah difahami," ujar Shimizu, 50.
Shimizu, yang telah menghasilkan sebuah lagi komik berkaitan Uighur, bukan seorang yang asing dalam politik. Menerusi akaun Twitternya, dia sering menunjukkan sokongan dengan memperjuangkan isu yang lazimnya disokong sayap kanan Jepun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan antara sejuta atau dua juta orang, kebanyakannya Muslim Uighur, ditahan dalam keadaan yang teruk di wilayah Xinjiang di barat laut China.
Beijing menyatakan itu sebahagian daripada kempen anti-keganasan memandangkan pemerintah China percaya Xinjiang berdepan ancaman daripada militan dan puak pemisah.
Shimizu menghasilkan jalan cerita komiknya berdasarkan apa yang dia pelajari selepas menonton video pengakuan Tursun.
Dalam komiknya, Tursun dikisahkan telah ditahan oleh pihak berkuasa China meskipun dia tidak melakukan sebarang jenayah. Dia dipisahkan daripada anak kembar tiganya yang baru berusia 45 hari. Dia juga diseksa dengan arus elektrik.
Dia kemudian dibebaskan dengan parol, namun mengetahui bahawa salahs eorang anaknya mati dalam jagaan pemerintah. Kemudian dia ditahan lagi, disumbat di dalam ruang sempit beramai-ramai, hinggakan hendak berbaring pun perlu mengambil giliran.
Selepas ditahan kali ketiga, dia bertanya mengapa dia perlu berdepan dengan kesulitan itu. Jawab seorang pegawai penguasa: “Kerana kamu Uighur.”
"Terdapat orang yang memerlukan bantuan segera, orang yang menjalani kesulitan seperti itu setiap hari,” ujar Shimizu.
What Has Happened to Me telah dimuat naik ke Twitter pada 31 Ogos, dan respons orang ramai terus mencurah masuk.
"Tidak dinafikan lagi, komik hasil karya Shimizu memainkan peranan penting dalam memberitahu dunia mengenai isu Uighur,” ujar Pengerusi Persatuan Uighur Jepun, Ilham Mahmut.
[GLOSARI] Manga merujuk kepada komik atau novel grafik yang dihasilkan di Jepun, atau yang menggunakan bahasa Jepun, dan mengikut gaya yang dibangunkan di Jepun sejak akhir kurun ke-19. Manga mempunyai sejarah yang panjang dan rumit dalam jalur kesenian Jepun.
#China
#etnik minoriti
#komik manga
#manga
#minoriti uighur
#pelukis komik
#pelukis komik jepun
#Tahanan
#tomomi shimizu
#Uighur