Wanita Indonesia ditahan di Filipina, disyaki rancang serangan bom bunuh diri

Hasimi Muhamad
Oktober 10, 2020 16:11 MYT
Menurut Brigadier Jeneral William Gonzales, pihaknya giat memburu pengganas asing di Sulu selepas insiden pengeboman di bandar Jolo pada Ogos lalu.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita Indonesia yang disyaki merancang serangan bom bunuh diri di selatan Filipina ditangkap dalam satu serbuan pada awal pagi Sabtu.
Penahanan itu dibuat kurang dua bulan selepas insiden serangan bom di Pulau Jolo di wilayah Sulu membabitkan dua pengebom berani mati.
Pasukan Petugas Khas dalam kenyataan memaklumkan, suspek dikenali sebagai Rezky Fantasya Rullie dan merupakan balu kepada seorang militan Indonesia yang terbunuh dalam insiden pada Ogos lalu.
Selain itu, suspek dipercayai anak perempuan kepada dua pengebom berani mati yang meletupkan diri berhampiran gereja Katholik di Jolo, awal tahun ini.
Menurut Brigadier Jeneral William Gonzales, pihaknya giat memburu pengganas asing di Sulu selepas insiden pengeboman di bandar Jolo pada Ogos lalu.
"Rullie berada dalam senarai utama sejak kami menerima laporan risikan bahawa dia akan melakukan pengeboman bunuh diri," katanya memetik laporan AFP.
Tambah beliau, Rullie ditahan bersama dua lagi wanita yang berkahwin dengan anggota Abu Sayyaf.
Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah vest yang dilekatkan dengan bom paip serta bahan peledak yang dipercayai milik pemimpin Abu Sayyaf, katanya.
#Abu Sayyaf #Indonesia #Sulu #Filipina #pengganas #Warga Indonesia ditahan #pengebom berani mati #serangan pengganas #Rezky Fantasya Rullie
;