Wanita hamil 2 bulan dipukul suami gara-gara permainan video

Astro Awani
Mei 1, 2021 13:48 MYT
Gara-gara tidak diberikan telefon mudah alih untuk bermain permainan video, seorang suami tergamak memukul isterinya yang hamil dua bulan. -Gambar hiasan
SINABANG: Gara-gara tidak diberikan telefon mudah alih untuk bermain permainan video, seorang suami tergamak memukul isterinya yang hamil dua bulan.
Dalam kejadian di daerah Simeulue, Indonesia pada Rabu, suspek yang dikenali sebagai RY, 24, dilapor memukul isterinya AD, 21, apabila permintaan untuk bermain permainan Higgs Domino dihalang.
Mangsa mengalami kecederaan di paha kiri dan kepala, lapor portal Tribunnews.
Polis yang dimaklumkan tentang kejadian telah menahan suspek dan membawa mangsa ke hospital untuk menjalani rawatan.
“Mangsa dan suspek ialah pasangan suami-isteri. Isterinya sedang hamil dua bulan.
"Suspek memukul isterinya setelah tidak diberikan telefon bimbit untuk bermain chip domino,” kata jurucakap polis.
Polis telah mengambil keterangan daripada suspek dan dia dinasihatkan agar berdamai dan menyelesaikan masalah yang terjadi dengan isteri secara aman.
"Saya berharap kepada masyarakat, sebelum melaporkan kes kepada polis seperti perkelahian, selisih paham, penganiayan ringan... sebaiknya diselesaikan secara kekeluargaan terlebih dahulu.
"Jangan kerana emosi sesaat, langsung melanggar hukum," tambahnya.
#Higgs Domino #suami pukul isteri #Simeulue #telefon mudah alih #permainan video #hamil dua bulan
;