Sebuah mahkamah rayuan persekutuan Amerika Syarikat pada Selasa mempertahankan penggunaan etnik sebagai syarat kemasukan ke sebuah universiti setahun selepas Mahkamah Persekutuan mengarahkan amalan tindakan afirmatif itu disemak semula, lapor AFP.

Mahkamah Rayuan Sirkit Ke-5 memutuskan Universiti of Texas di Austin (UT Austin) boleh mempertimbangkan etnik dalam memilih mahasiswa yang diterima masuk ke universiti itu bagi tujuan menggalakkan kepelbagaian kaum.

"Menafikan UT Austin penggunaan etnik yang terhad dalam usahanya mewujudkan kepelbagaian yang menyeluruh akan merencatkan pengalaman pendidikan yang kaya (yang hendak diberikan oleh universiti itu)," kata seorang hakim seperti dipetik oleh AFP.

Kes itu dikemukakan oleh Abigail Fisher, seorang wanita kulit putih yang tidak dapat masuk ke universiti itu pada 2008. Beliau mendakwa universiti itu telah menafikan tempat kepadanya untuk masuk ke universiti berprestij itu kerana warna kulitnya.

Mahkamah yang sama telah menolak kesnya tetapi beliau merayu ke Mahkamah Agung. Mahkamah tertinggi itu pada Jun tahun lalu dalam keputusan 7-1 memutuskan sebuah universiti boleh menggunakan etnik sebagai asas kemasukan sekiranya ia perlu untuk mewujudkan kepelbagaian.

Mahkamah Agung kemudian mengarahkan mahkamah rayuan yang sama untuk menyemak semula keputusannya, apakah universiti itu masih perlu memberi keutamaan kepada pemohon daripada etnik minoriti.

Selain bersetuju bahawa etnik adalah antara faktor penentu kemasukan, dalam keputusannya pada Selasa mahkamah itu juga menarik perhatian bahawa Fisher mempunyai markah yang "sangat rendah untuk diterima masuk mengikuti program akademik pilihannya di UT Austin."

"Sekiranya beliau seorang (etnik) minoriti sekalipun, keputusannya sama," kata mahkamah itu.

The Los Angeles Times melaporkan keputusan itu diputuskan dengan dua hakim bersetuju manakala seorang hakim menentang.

Peguam Fisher memberitahu Los Angeles Times anak guamnya akan mengemuka rayuan terhadap keputusan itu.

Pihaknya mempertahankan hujah bahawa dasar sedia ada iaitu tawaran kemasukan universiti kepada 10 peratus pelajar terbaik di kolej sudah memberikan jumlah pelajar bukan kulit putih yang cukup ramai untuk mewujudkan kemajmukan.