Wanita Filipina dipercayai paling tua di dunia meninggal dunia
Sinar Harian
November 24, 2021 11:27 MYT
November 24, 2021 11:27 MYT
MANILA: Seorang wanita dipercayai manusia paling tua di dunia meninggal dunia di Kabankalan, Negro Occidental, Filipina pada usia 124 tahun, petang Isnin lalu.
Francisca Susano dilahirkan pada abad ke-19 meninggal dunia di rumahnya dan punca sebenar kematiannya masih tidak diketahui.
Namun, dia meninggal dunia bukan disebabkan oleh COVID-19 memandangkan wanita itu tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti pandemik tersebut.
Susano mempunyai 14 orang anak dan lapan daripadanya masih hidup serta memiliki lebih 500 cucu dan sejumlah cicit.
Salah seorang anak perempuannya berumur 101 tahun.
Dia dilahirkan pada 11 September 1897 ketika Filipina masih menjadi koloni Sepanyol.
Sehingga September lepas, Guinness World Records masih berusaha mengesahkan umurnya sebelum mengisytiharkan Susano sebagai manusia tertua di dunia.
Dia berkahwin ketika berumur 14 tahun dan mendirikan rumah tangga bersama tiga orang lelaki.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.