Wanita ditahan susulan kematian 3 individu disyaki makan cendawan beracun

Bernama
November 2, 2023 13:52 MYT
Jabatan Kesihatan Victoria mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengelak memakan cendawan selepas cendawan beracun, termasuk jenis Death Cap, tumbuh di negeri itu. - Gambar hiasan
SYDNEY: Polis Australia pada pagi Khamis menahan seorang wanita berhubung kematian tiga warga emas Ogos lalu yang mengalami keracunan makanan selepas disyaki memakan cendawan beracun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Polis berkata wanita berusia 49 tahun itu ditahan di rumahnya di Leongatha, dekat Melbourne dan akan disiasat berhubung kes berkenaan.
"Siasatan masih diteruskan," menurut Polis Victoria dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian pada 30 Julai, seramai empat orang dikejarkan ke hospital apabila mereka jatuh sakit selepas makan di sebuah rumah berhampiran Melbourne, di negeri Victoria.
Dua wanita daripada empat mangsa masing-masing berumur 66 dan 70 tahun kemudian meninggal dunia di hospital pada 4 Ogos, manakala seorang lelaki berumur 70 tahun meninggal dunia pada 5 Ogos.
Seorang lagi lelaki yang dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal hanya dibenarkan keluar pada 23 September.
Jabatan Kesihatan Victoria pada April lepas mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar mengelak daripada memakan cendawan selepas cendawan beracun, termasuk dari jenis Death Cap, sedang tumbuh di negeri itu.
-- BERNAMA
#Australia #cendawan beracun #kes kematian #polis
;