Wanita diserang serigala di taman safari
Bernama
Jun 24, 2024 15:00 MYT
Jun 24, 2024 15:00 MYT
PARIS: Seorang wanita telah diserang oleh beberapa ekor serigala dan mengalami kecederaan parah di taman safari terkenal Thoiry, di barat Paris, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Insiden berlaku pada pagi Ahad apabila wanita itu dikatakan memasuki kandang haiwan di zon safari semasa berjoging atas sebab yang belum dijelaskan, lapor akhbar harian Le Parisien dan lain-lain. Hanya pemandu kenderaan dibenarkan di situ, pejalan kaki dilarang masuk ke dalam kandang.
Taman Safari Thoiry, kira-kira 50 kilometer dari ibu kota Perancis, adalah antara yang tertua di Perancis. Ia meliputi kawasan seluas 150 hektar dan mempunyai sekitar 1,500 ekor haiwan daripada kira-kira 100 spesies.
Mangsa tinggal di sebuah pondok di taman itu. Nyawa wanita tersebut tidak dalam bahaya dan penjaga zoo dengan cepat memberikan bantuan, lapor saluran televisyen BFMTV, yang memetik kenyataan pihak zoo.
-- BERNAMA