Wanita diserang sekumpulan 400 lelaki didakwa sengaja rancang kejadian
Astro Awani
Ogos 22, 2021 10:41 MYT
Ogos 22, 2021 10:41 MYT
SEORANG wanita yang dilapor diserang sekumpulan lebih 400 lelaki ketika membuat rakaman video untuk akaun media sosialnya minggu lepas didakwa sengaja melakukannya demi meraih jumlah followers.
Seorang pengawal keselamatan di Taman Greater Iqbal di Lahore, Pakistan yang berdepan dengan Minar-e-Pakistan berkata, wanita berkenaan "sengaja tunggu sehingga sekumpulan lelaki itu tiba dan tidak cuba melarikan diri".
Pendedahan itu dibuat wartawan GG Pakistan Asjad Khokhar dan dimuat naik di akaun Twitter miliknya pada Khamis.
Selasa lalu, polis Lahore membuka kertas siasatan terhadap ratusan lelaki susulan kejadian yang dilaporkan berlaku pada Hari Kemerdekaan India, 15 Ogos lalu.
Portal berita The Pakistan Frontier menggelar insiden yang berlaku di Minar-e-Pakistan itu sebagai aksi yang dirancang oleh mangsa Ayesha Akram dan tunangnya Rambo bagi menaikkan 'follower' di akaun media sosial TikTok milik wanita tersebut.
Rambo dikatakan terlibat dengan penerbitan rancangan TV Sar-e-Aam yang disiarkan melalui ARY News.
Dalam ciapan di akaun Twitter, The Pakistan Frontier mendakwa sekumpulan lelaki yang dilihat cuba melindungi Ayesha daripada diserang lelaki berkenaan merupakan kenalannya.
Ada di antara mereka yang didakwa turut melakukan serangan terhadap wanita berkenaan bagi mencetuskan keadaan huru-hara.
Menurut sumber, Ayesha telah meminta pihak polis untuk tidak mengambil tindakan berhubung insiden itu, lapor ARY News.
Ayesha juga dilapor telah memberikan alamat palsu kepada polis ketika membuat laporan.
Wartawan The Pakistan Frontier mengunjungi rumah berkenaan dan menemu bual pasangan warga emas yang berulang kali menegaskan Ayesha Akram tidak tinggal bersama mereka.
Mereka turut menyatakan tidak mempunyai hubungan dengan wanita berkenaan.
Pendedahan media tempatan itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang berkata seluruh rakyat Pakistan telah diperdaya.