Wanita disangka mati dikebumi, cuba meronta keluar dari kubur selama 11 hari
Agensi
Februari 18, 2018 18:46 MYT
Februari 18, 2018 18:46 MYT
Seorang wanita yang dipercayai telah dikebumi ketika masih bernyawa didapati cuba meronta keluar dari dalam kerandanya setelah dikebumi selama 11 hari, sebelum akhirnya mati semula.
Saudara-mara Rosangela Almeida dos Santos, 37, berkata wanita itu cuba untuk membebaskan dirinya dari keranda yang telah tertutup rapat dan dipaku, dan dari kuburnya yang dibina menggunakan konkrit.
Dalam video yang telah tular di Brazil, saudara-mara wanita itu bertungkus-lumus cuba menyelamatkan Rosangela berikutan aduan seorang yang terdengar suara jeritan di kawasan perkuburan di Riachao das Neves.
Mereka bagaimanapun hanya menemui jasad wanita itu yang sudah dalam kedudukan beralih dengan kapas yang disumbat di rongga kepalanya sudah tertanggal.
Tangan dan dahi Rosangela juga dikhabarkan berdarah, sebagai 'bukti' dia berusaha untuk membebaskan dirinya dengan menumbuk, mencakar dan menghantukkan kepala dari dalam keranda itu.
Cerita tersebut telah mendapat liputan pelbagai portal berita antarabangsa, namun masih banyak persoalan logik yang ditimbulkan mengenai kisah sebenar di sebalik kekecohan itu.
Sebelum pengebumian, semua orang menyangka Rosangela telah meninggal dunia akibat ‘kejutan septik’ selepas dua serangan kardiak. Pengebumiannya dibuat pada 28 Januari lalu.
Seorang saksi yang terdengar jeritan Rosangela selepas 11 hari pengebumian turut berkongsi kisah itu.
“Apabila saya berdiri di depan kuburnya, saya terdengar bunyi hentakan kuat dan berulang dari dalam.
“Mula-mula saya sangkakan ada kanak-kanak yang bergurau dengan saya di kawasan itu. Kemudian saya terdengar suara dengusan kuat,” kata Natalina Silva yang kemudian segera meminta bantuan.
Media tempatan melaporkan, terdapat 500 orang membanjiri kawasan itu ketika khabar itu tersebar, sebahagian cuba menukul struktur konkrit kubur Rosangela, manakala lebih ramai yang datang untuk melihat kejadian aneh itu.
Sejurus jasad Rosangela dikeluarkan, semua orang mahu menyentuhnya. Mereka mendapati suhu tubuh Rosangela masih hangat, namun dia sudah benar-benar tidak bernyawa.
Pihak polis dilaporkan menyoal siasat keluarga Rosangela termasuk mengumpul data klinikal daripada pihak hospital.
Semua orang di Brazil kini menunggu hasil siasatan itu. Semua tertanya-tanya - bagaimana seseorang yang belum meninggal dunia, boleh diisytihar mati hingga akhirnya kebumi sebelum waktunya?
Antara persoalan yang muncul adalah: Pada hari ke berapakah selepas pengebumian, Rosangela tersedar dan cuba untuk membebaskan dirinya? Jika benar dia tersedar sejurus dikebumi, bukankah agak mustahil untuk seseorang terus bernyawa selama 11 hari dalam situasi sebegitu?
Apa pula pandangan anda?