Wanita dirogol ketika mandi, aksi dirakam
Sinar Harian
Oktober 4, 2018 19:41 MYT
Oktober 4, 2018 19:41 MYT
Seorang wanita India telah dirogol dengan kejam oleh dua lelaki dengan mengheretnya keluar dari Sungai Gangga ketika sedang mandi.
Lebih malang, tindakan tidak berperikemanusiaan itu juga dirakam lelaki itu terhadap wanita berusia 45 tahun di Patna, Bihar di Timur Laut India.
Dia kemudiannya memuat naik video ke media sosial, sekaligus mengejutkan pelayar.
Memetik Dailymail, di dalam video itu, terdengar suara wanita merayu kepada lelaki berkenaan agar tidak melakukan perbuatan terkutuk kerana mereka berada di 'sungai suci'.
Menurut agama Hindu, Sungai Gangga adalah tempat suci mereka kerana dikatakan dewi Gangga turun ke bumi dan 'sungai suci' sering disebut sebagai 'ibu'.
Mangsa dikatakan telah mandi di sungai bagi upacara membersihkan diri namun diserang oleh mereka.
Video itu menunjukkan salah seorang lelaki mengheretnya keluar dari air sebelum merogolnya di tepi sungai.
Wanita itu akhirnya dilepaskan oleh penyerang dan terus bertindak membuat laporan polis.
Beberapa saluran berita tempatan mendakwa ketika wanita melaporkan dirinya dirogol, polis enggan mengambil tindakan.
Bagaimanapun, apabila video itu tular di media sosial, polis menjejaki kedua lelaki tersebut.
Kedua-dua lelaki itu telah ditangkap dan ia masih dalam siasatan polis. - Dailymail