Wanita dirantai dalam kesejukan, kerajaan China janji siasatan menyeluruh

Agensi
Februari 18, 2022 09:00 MYT
Kes itu terbongkar pada Januari lalu selepas satu video dimuat naik di media sosial, menunjukkan wanita itu dirantai dalam kesejukan. - Twitter/Manya Koetse
BEIJING: Pentadbiran wilayah Jiangsu di China berjanji akan membuat siasatan menyeluruh berhubung kes seorang wanita yang dirantai di leher, menurut media kerajaan pada Khamis.
Kes itu terbongkar pada hujung Januari lalu selepas satu video dimuat naik di media sosial menunjukkan wanita itu dirantai dalam kesejukan.
Video itu tular di media sosial, memaksa pihak berkuasa bandar dan daerah di wilayah Jiangsu membuat siasatan.
Kemarahan orang ramai bagaimanapun tercetus selepas pihak berkuasa mendakwa wanita itu sakit mental dan menolak tanggapan kes itu ada kaitan dengan pemerdagangan manusia.
Namun tanggapan itu terbukti benar dengan penahanan tiga individu termasuk suaminya, mengakibatkan kemarahan orang ramai semakin meningkat.
Selain itu orang ramai turut menimbulkan persoalan tentang pengendalian siasatan itu yang disifatkan cuai.
Ia juga mencetuskan perdebatan mengenai pengendalian kes pemerdagangan manusia oleh China, terutamanya di kawasan luar bandar seperti Xuzhou di Jiangsu, di mana isu itu didakwa berlarutan bertahun lamanya.
Kerajaan Jiangsu memutuskan untuk menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat kes itu secara menyeluruh dan mengenakan tindakan mengikut undang-undang, dan meminta pihak yang terbabit untuk bertanggungjawab, lapor CCTV pada Khamis. .
Sekumpulan individu yang menggelar diri mereka sebagai graduan Universiti Peking dan Universiti Zhejiang, memulakan petisyen dalam talian yang menggesa kerajaan pusat untuk meneliti pengendalian pihak berkuasa tempatan terhadap kes itu.
Beberapa wartawan China juga menerbitkan laporan mengenai kes itu, mendedahkan dokumen yang secara tidak langsung mempersoalkan kredibiliti pihak berkuasa tempatan.
#China #Jiangsu #pemerdagangan manusia #wanita dirantai di leher
;