Wanita dipenjara 26 tahun bunuh ibu kandung

Astro Awani
Januari 18, 2024 10:15 MYT
Mack ketika menjalani hukuman penjara di Bali, Indonesia. - Foto AP
CHICAGO: Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) dipenjara 26 tahun selepas didapati bersalah bersubahat untuk membunuh ibunya ketika bercuti di Bali, Indonesia pada tahun 2014.
Heather Mack juga dituduh bersubahat menyorok mayat ibunya itu di dalam beg pakaian.
Sebelum ini Mack didakwa pada tahun 2015 di Indonesia dan dipenjara selama 10 tahun sebelum dibebaskan pada tahun 2021.
Sebaik tiba di AS, dia ditahan semula atas tuduhan bersubahat membunuh seorang warga AS.
Mack menjalani hukuman penjara di Chicago sebelum dijatuhi hukuman.
Pada Rabu, Hakim Matthew Kennelly memutuskan hukuman penjara Mack, 28, akan dikurangkan kepada 23 tahun kerana telah menjalani hukuman penjara di Indonesia dan Chicago.
Pihak pendakwa raya mencadangkan hukuman penjara selama 28 tahun untuk Mack, yang bersubahat bersama teman lelakinya ketika itu, Tommy Schaefer untuk membunuh ibunya, Sheila von Wiese-Mack.
Pasangan ini dilaporkan berbuat demikian bagi mendapat akses kepada tabung amanah berjumlah AS$1.5 juta.
Ketika kejadian, Mack, yang berusia 18 tahun dan dilaporkan sedang mengandung, dikatakan telah menutup mulut ibunya sementara Schaefer menghentak kepalanya menggunakan mangkuk buah.
Mayat ibunya itu kemudian ditemui di dalam beg pakaian yang ditinggalkan di dalam sebuah teksi.
Kedua-dua mereka ditahan tidak lama kemudian di sebuah hotel lain di Bali.
Ketika ini Schaefer masih menjalani hukuman penjara di Indonesia.
#Heather Mack #bunuh ibu kandung #Tommy Schaefer #Bali
;