Wanita didakwa menyamar sebagai anggota polis, tipu warga emas ribuan dolar
Astro Awani
Mei 12, 2021 10:40 MYT
Mei 12, 2021 10:40 MYT
Seorang wanita di Memphis, Amerika Syarikat didakwa atas tuduhan menyamar sebagai seorang anggota polis dan cuba memeras wang daripada seorang warga emas 30 April lepas.
Nicole Watkins didakwa memberitahu lelaki berusia 84 tahun itu dia berdepan tuduhan merogol, lapor portal berita Newsweek.
Suspek turut mengarahkan warga emas berkenaan untuk membayar denda berjumlah ribuan dolar bagi membatalkan tuduhan tersebut.
Menurut dokumen mahkamah, Watkins bersetuju untuk bertemu dengan mangsa di sebuah restoran di Germantown Parkway.
Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah bank di mana dia mengeluarkan duit sebanyak AS$8,000.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank lain dan diarah untuk mengeluarkan AS$10,000 namun gagal berbuat demikian selepas mendapati akaun bank milik mangsa telah dibekukan.
Selepas pengeluaran pertama, bank berkenaan dikatakan telah menghubungi anak mangsa yang mengarahkan untuk membekukan akaun bapanya itu.
Menyedari tindakannya dikesan pihak berkuasa, suspek terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis.
Siasatan polis mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan mencuri, penyamar sebagai anggota polis dan penggunaan kad kredit secara tidak sah.
Mahkamah mengarahkan suspek membayar wang jaminan dan menetapkan 28 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.