Wanita didakwa bunuh anak sendiri pada Hari Ibu

Astro Awani
Mei 10, 2022 03:20 MYT
Orang ramai meletakkan jambangan bunga serta anak patung di hadapan kediaman kanak-kanak yang maut didakwa akibat dibunuh ibunya sendiri. - Foto AP
CALIFORNIA: Seorang wanita didakwa di Mahkamah California, Amerika Syarikat pada Isnin atas tuduhan membunuh tiga anaknya.
Mengikut kertas pertuduhan, Angela Flores, 38, didakwa membunuh anaknya kira-kira jam 7 pagi pada 8 Mei lalu bersamaan dengan Hari Ibu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di San Fernando Valley.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak AS$6 juta (RM26.3 juta) ke atas tertuduh.
Pejabat Sherif Daerah Los Angeles memaklumkan Flores ditahan selepas tiga kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri di rumah mereka.
Identiti kanak-kanak tersebut tidak didedahkan namun pihak polis memberitahu mereka terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan dua kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.
Seorang lagi anak remaja Flores turut ditahan bagi membantu siasatan.
Punca kematian kanak-kanak terbabit tidak didedahkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
#wanita #bunuh anak #Hari Ibu #Angela Flores