Wanita diculik sedekad lalu ditemui selamat
Agensi
Mei 22, 2014 10:09 MYT
Mei 22, 2014 10:09 MYT
Seorang wanita yang diculik sedekad yang lalu ketika berusia 15 tahun, ditemui selamat manakala suspek yang menculiknya berjaya ditangkap.
Wanita malang yang kini berusia 25 itu ketika dalam penahanannya, telah mengalami penderaan seksual tanpa kerelaan.
Dia telah diculik di Santa Ana, selatan Los Angeles pada tahun 2004 oleh teman lelaki ibunya.
Wanita itu tampil ke hadapan dan mengenal pasti sendiri suspek pada Selasa yang dikenali sebagai Isidro Garcia, 41.
Mangsa yang identitinya dirahsiakan berjaya melarikan diri walaupun keadaan tersebut sangat mustahil baginya, kata seorang pegawai polis dari Santa Ana dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada tahun 2007, Garcia telah memaksa mangsa berkahwin dengannya dan pada tahun 2012 mereka mempunyai seorang anak.
Setelah beberapa kali menghubungi kakaknya melalui Facebook, mangsa akhirnya mempunyai keberanian untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Garcia yang tinggal di Bell Gardens iatu 40 kilometer dari Santa Ana, Los Angeles telah didakwa di bawah kesalahan menculik, merogol, berkelakuan tidak senonoh dengan kanak-kanak bawah umur dan mengurung mangsa.
Mangsa telah dilaporkan hilang bersama Garcia pada Ogos 2005.
“Garcia telah memberi dadah kepada mangsa dan membawa mangsa ke sebuah rumah di Compton” kata polis.
“Dalam beberapa tahun, Garcia telah berulang kali memberitahu mangsa bahawa keluarganya telah berputus asa mencari dan jika mangsa balik semula ke pangkuan keluarga, dia akan dihantar pulang semula” kata polis dalam kenyataan yang sama.
Mereka juga sudah beberapa kali berpindah untuk mengelak dari dikesan pihak polis.